ELLA-RATU ROCK MALAYSIA(DEMI ELLA)

Sunday, January 01, 2006



Ella macam dulu juga


Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

1 Januari 2006

30 Zulkaedah 1426

Ella.


DI MATA saya dia tidak pernah dewasa. Melewati usia yang makin jauh ke hadapan, pada saya Ella kekal dengan figura wanita cantik, ceria dan manja keletahnya.Sama seperti ketika saya memujanya lewat remaja yang membiakkan kuntum-kuntum cinta.
Di ingatan, pelantun Layar Impian yang menebarkan aroma dan pesona sendiri ini adalah artis yang berjaya merentasi masa.


Dia sudah melalui dua dekad yang penuh cabaran, bermula pada pertengahan 80-an tetapi sehingga ke hari ini kekal dengan cara dan acuan tersendiri lewat karya-karyanya.
Ella menemani saya sepanjang musim remaja yang sarat dengan bunga-bunga cinta dan pastinya anda juga bukan? Nuansa rock pada lagu-lagu terawal Ella pasti mengingatkan sesiapa saja kepada era emas rock Malaysia pada 80-an.
Sehingga hari ini dia masih setia menemani sesiapa juga yang pernah menumpang teduh di balik alunan merdu suaranya.


Sama seperti mata saya yang masih melihat jiwa remajanya, demikian juga dengan mereka yang sangat rapat dengan kehidupan insan bergelar ratu rock ini.
“Pada mata saya juga dia masih lagi anak kecil yang belum dewasa, dia masih naif,'' kata kakaknya, Jojie yang setia di sisi.
Jojie meladeni Ella, adik kesayangannya bagaikan bayi. Benar, sehingga ke hari ini pada waktu si adik sudah mencecah usia lebih 35 tahun. Tangannya masih rancak menyuap kala si adik makan bersama di kafetaria yang hingar-bingar dengan kehadiran penulis pelbagai rencam.
Sesekali juga dengan tisu di tangan dia menyapu bibir si adik dengan lembut, membuang makanan yang bersisa di bibir. Kasih sayang seorang kakak kepada adik tidak pernah ranum. Malah sentiasa segar seperti zaman remaja.


“Mungkin sebab dia oranglah El tak sempat jadi orang dewasa. Semua benda dia orang buat, tak bagi peluang langsung kepada El buat sendiri. Macam inilah jadinya,'' adu Ella yang manja membahasakan diri sebagai El.


Seorang lagi kakak yang tidak pernah melepaskannya ialah Saidatul Nisa, tukang solek profesional yang sentuhannya sentiasa menjadi kala merias wajah sesiapa saja.
Mereka yang tidak berkenalan rapat dengan keluarga ini tentunya menganggap kemesraan mereka tidak lebih daripada adegan drama. Atau paling tidak ada yang kata ‘mengada-ngadanya si Ella ni, manja tak bertempat'.


Tetapi bagi yang sekian lama akrab dengan mereka, pasti akan tahu bahawa inilah manifestasi kasih sayang sebenar. Antara hati yang bersaudara. Sarat dengan cinta yang tidak pernah pudar walaupun seketika.


Jadi kalau ada yang menganggap Ella belum dewasa di usia 30-annya, anda tidak salah. Mungkin kerana di sekelilingnya ada insan-insan yang tidak pernah gagal memanjakan dirinya.


Diari baru yang biru
Selamat tinggal 2005, hari ini aku datang dengan semangat dan jiwa baru. Masa lalu yang suram dan gersang akan aku tinggalkan melewati sejarah.Dalam diri Ella tidak pernah ada sejarah luka yang kekal. Tidak ada titik hitam yang dibawa sebagai dendam apatah lagi kala menyambut kehadiran tahun baru 2006. Diari baru yang biru akan sekali lagi terlukis dengan nota-nota keriangan dan kebahagiaan.


“Kalau ditanya tentang azam, hal lamalah. Tak tahu apa azam El untuk tahun 2006. Sebabnya El buat azam setiap hari, setiap bulan. Tak payah tunggu tahun baru pun tak apa.
“Apa-apa pun, biarlah kehadiran tahun baru 2006 ini membawa bersama keberkatan. Biarlah El lebih berjaya dan berjaya, membahagiakan hati semua orang sama ada yang El kenali ataupun tidak,'' itu antara luahan keazamannya.


Dalam kehidupan Ella tidak pernah ada sebarang dendam yang lama. Baginya hidup sebagai manusia perlu kepada sikap saling maaf dan memaafkan. Justeru tidak ada ingatan pahit dalam tahun 2005 yang masih bersisa di fikirannya pada ketika ini.
“El sudah buang jauh-jauh segala benda yang hitam, yang kotor. Malas hendak layanlah. Biarlah kita sambut tahun baru dengan semangat dan keazaman yang baru untuk saling membantu saudara seagama, bangsa dan negara,'' katanya.


Maka jangan hairan kalau sepanjang pengabdiannya kepada dunia seni, Ella tidak pernah mempunyai musuh yang kekal. Tidak pernah kedengaran juga dia berkata nista kepada sesiapa juga rakan artis yang menjadi saingannya.


Jauh sekali mengumpat, mengadu domba atau mengutuk selebriti lain, kerana dia dengan dunianya yang tersendiri.


Kena kahwin ke?
Jojie bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya bila-bila masa saja dalam tahun 2006. Tidak sah kalau tidak bertanya kepada si adik, yang pada suatu ketika pernah menyuarakan hasrat untuk berkongsi pelamin dengan si kakak.


Tetapi itu dulu, hari ini yang pastinya Jojie akan mendahului dan kita tunggu sahaja undangan perkahwinannya dengan ahli perniagaan kacak itu tidak lama lagi.


Apa yang sampai ke telinga kami, Ella juga pada ketika ini sudah mempunyai teman rapat. Dan dia sendiri mengakui dirinya sudah berteman, tetapi sukar untuk mendapatkan jawapan kepastian siapakah si jejaka yang dimaksudkan.


“Ramai, tapi adalah seorang dua yang berkenan di hati. Tunggu sampai emak El beri restu dan pilih dulu, kemudian baru jadi,'' kata anak emak ini mengelak daripada terus membicarakan soal cinta, hati dan perasaan.
Berkali-kali diuji dengan tanya yang serupa, Ella akur dan perlahan-lahan memberikan jawapan.
“Kena kahwin ke? Tunggulah. Kalau ada jodoh, Tuhan sudah tetapkan tahun 2006 kahwin, El akan kahwinlah. Kalau tak ada kena tunggu lagi, sampai bila pun El tak tahu,'' katanya.


Tak mahu pukul canang
Yang pasti Ella tidak mahu terlalu awal memukul canang mengenai siapa jejaka berkenaan. Kalau cerita terlebih pun, dia bimbang bila sampai masanya semua hanya tinggal sekadar rancangan.


“Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Bukan El sengaja hendak kahwin lambat. Kalau tengok kawan-kawan ada anak, rasa teringin sangat hendak bina keluarga, tetapi ini adalah takdir dan suratan. El sendiri tak boleh buat apa-apa kalau belum sampai pada masanya lagi,'' katanya.


Jadi untuk tahun 2006 ini kami akan sekali lagi melepas untuk menikmati ‘nasi minyak' Ella?
Jawabnya mudah saja. “Tunggulah, kalau Allah kata tahun ini masanya, El akan jemputlah semua.


“Kalau tak ada juga tunggu saja dua atau tiga tahun lagi. Madonna pun umur dekat 50 tahun baru dapat anak kecil lagi, tak jadi hallah,'' terangnya cuba berhumor sekali gus mematikan perbualan kami tentang jodoh dan pertemuan. Biarlah Dia yang menentukan segala-galanya.
Projek RM100,000
“Teruja sangat,'' katanya ringkas kala diminta. Ella mengulas tentang penerbitan album Urban Strikes - Satu Penghargaan Buat Ratu Rock Ella.
Untuk album berkenaan syarikat rakaman naungannya, EMI Malaysia melabur lebih RM100,000 dan Ella bertuah kerana masih mendapat tempat istimewa di hati syarikat berkenaan.


Bagi dirinya sendiri, Ella menerima cadangan syarikat berkenaan sebagai satu penghormatan yang tidak perlu disia-siakan.
Dan paling penting dia dapat bekerja dengan artis-artis hip hop generasi baru yang kesemuanya berada di gelombang popular.


Nama-nama seperti Ruffedge, KRU, VE, Shazzy dan Too Phat bakal berkolaborasi dengan Ella bagi memunculkan album berkenaan.
“Semua artis ini tahu apa yang mereka hendak dalam lagu. Itu yang buat El rasa bangga dan senang hati sekali bila EMI beritahu tentang projek album khas ini,'' katanya.
Urban Strikes didedikasi khas buat Ella sempena menyambut 20 tahun kehadirannya dalam dunia seni suara secara profesional.


Menariknya album ini turut melibatkan tuan empunya badan yang akan berkolaborasi menyampaikan seberapa baik dalam setiap lagu melalui album tersebut.
Setiap artis yang terlibat juga khabarnya akan menjadi penerbit sendiri dan lagu-lagu popular Ella disampaikan dengan cara dan kecintaan mereka tersendiri.


“Maknanya Ella macam kena masuk ke dunia berbeza daripada sebelum ini. Sesuatu yang sangat menarik dan memang Ella cita-citakan,'' katanya. Sebelum ini Ella pernah berduet dengan Waheeda melalui lagu Kau Tiada Ganti dan ia juga adalah satu pengalaman yang menyeronokkan.


Meskipun bekerja dengan nama-nama artis baru, Ella tidak pernah menganggap mereka berhadapan dengan jurang perbezaan yang besar.
Album ini akan dipasarkan di hari kasih sayang, 14 Februari depan. Nah, nampaknya jadual Ella untuk tahun 2006 akan kembali padat.


Jadi, lupakanlah hal-ehwal yang lain baik mengenai urusan perkahwinan atau apa juga yang bersifat peribadi. Untuk melihat Ella ke pelamin, kita perlu terus menanti.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home