PerJalaNan SeNi eLLa

Album '30110' telah mencipta sejarah buat Ella. baru seminggu di pasaran ia telah mencecah jualan sebanyak 100,000 unit! Rekod jualannya begitu pantas sehingga ia mencecah lebih 300,000 unit. Ia juga adalah album yang menyaksikan peminat Ella berkembang kepada bukan Melayu dan bukan di kalangan penggemar muzik rock.
Album seterusnya iaitu 'Ella USA' turut mencatat sejarah. Ia dirakam di Los Angeles, Amerika Syarikat dan diterbitkan oleh kyoji Yamamoto, bekas gitaris band Jepun iaitu Bow Wow. Ia adalah album Ella yang paling sukses apabila mencatat jualan melebihi 350,000 unit yang sekaligus menjadikan Ella sebagai penyanyi wanita pertama yang mencatat jualan album sebanyak itu. Sehingga kini, tidak ada penyanyi wanita yang mampu memecahkan rekod jualan tersebut.
Selepas 'Ella USA' diterbitkan pada 1994, Ella seolah-olah menyepikan diri. Namun, penyepian bukanlah bermakna Ella terus tenggelam. Dan, pada 1998 dia kembali dengan 'El", sebuah album yang menampilkan kematangan serta nafas baru daripada Ella. Dengan kerjayanya yang sudah berada di kemuncak, 'El' mempersembahkan sesuatu yang bertaraf antarabangsa. Vokalis Michael Learns To Rock, Jascha Richer dan Ricrahd Marx adalah antara nama-nama besar menyumbangkan lagu buat 'El'. Paling menarik ialah Slash, gitaris Guns N' Roses ketika itu turut menyumbangkan sentuhan gitaris solonya di dalam lagu "Bayangan" ciptaan Zuraini. Selain itu Ella turut bertindak sebagai penerbit album bersama dengan Fauzi Marzuki, Greg Henderson dan Paul Moss.
Kemasukan alaf baru Ella berehat seketika. Peminat tertanya-tanya bila Ella akan kembali merakamkan album barunya. Pelbagai spekulasi termasuklah yang kurang menyenangkan telah timbul. Dan akhirnya pada 2001 Ella melegakan peminatnya apabila album yang ditunggu-tunggu iaitu "Ilham Bicara" berada di pasaran. Jika dalam '30110' menyaksikan eksperimentasi Ella dan penerokaan konsep baru dalam 'El', tetapi menerusi "Ilham Bicara", Ella kembali ke konsep rock sebagaimana dia mula dikenali dahulu. Hasilnya "Ilham Bicara" berjaya meledakkan kemabli namanya di persada industri muzik tempatan. Dia berjaya menarik perhatian dengan gabungannya bersama kumpulan hip hop Da Joint dengan lagu "Nan Berbeza", duet bersama Ramli Sarip dalam lagu "Dia Lelaki" dan juga cubaan sulungnya menyanyikan lagu berentak Asli iaitu "Jauh Di Mata".
Kini, Ella adalah antara penyanyi wanita paling sukses. Pengalaman dan pencapaiannya menjadikan Ella sebagai penyanyi wanita yang paling dihormati. Sumbangannya terhadap industri muzik tempatan (muzik rock khususnya) akan terpalit dalam liputan sejarah. Dan, anda pasti akan bersetuju!

0 Comments:
Post a Comment
<< Home