ELLA-RATU ROCK MALAYSIA(DEMI ELLA)

Friday, September 05, 2008

ELLA + M Online 04 SEPTEMBER 2008

Ning, Ella, Anuar, Faizal Tahir tukar genre muzik demi 'Ghazal Rock'


04-09-2008 10:22:00 AM
oleh WAHIDA ASRANI

SETIAP kali menjelangnya Syawal, stesen-stesen televisyen pastinya 'berlumba-lumba' menghasilkan program sempena Hari Raya dengan menampilkan pelbagai konsep dan pastinya program hiburan adalah yang sering menjadi sajian penonton.

Seperti mana tahun-tahun terdahulu, TV3 kali ini juga tidak ketinggalan menghasilkan beberapa buah program raya dan salah satu yang menonjolkan kelainan tersendiri adalah program Ghazal Rock.

Konsepnya cukup menarik iaitu dengan menampilkan penyanyi-penyanyi popular tanahair yang bakal menyampaikan lagu-lagu berbeza dengan genre muzik yang sering mereka bawakan.

Meskipun beberapa kali terlupa lirik, Faizal akhirnya tetap berjaya mempamerkan kesungguhannya membawakan lagu ghazal dengan cukup baik

Tiga penyanyi rock tanahair, Ella, Faizal Tahir dan vokalis kumpulan Jinbara, Tiar diberi 'cabaran' mendendangkan lagu-lagu ghazal, manakala dua bintang pop terkenal Anuar Zain dan Ning Baizura akan mempamerkan bakat mereka membawakan lagu berentak rock.

Mengulas mengenai keunikan program ini, kata penerbitnya, Khalijah Mohamed, idea untuk menghasilkan program raya seperti ini timbul bagi menambahkan variasi kepada program-program raya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

"Dalam setiap program yang kami ingin hasilkan, sudah tentu kita perlu mencari kelainan. Dalam Ghazal Rock ini, memang kami sengaja ingin ketengahkan irama ghazal kerana kita sendiri sedia maklum, muzik ini sudah jarang kita dengar.

"Apatah lagi bagi kalangan generasi muda. Lagu rock pula memang sentiasa evergreen. Jadi sebab itu kita bercadang untuk gabungkan dua muzik ini di dalam satu program dan untuk nampak lebih menarik lagi, kita bawakan penyanyi-penyanyi pop untuk nyanyikan lagu rock dan artis rock pula membawakan lagu ghazal.

Ella membawakan lagu Janji dengan gaya tersendiri

"Penyanyi-penyanyi yang terlibat juga kita pilih yang mempunyai nama yang agak 'kuat' dalam genre masing-masing. Bagi segmen rock, penyanyi terlibat akan diiringi muzik oleh kumpulan Jinbara, manakala bagi segmen ghazal pula akan diiringi oleh kumpulan Ghazal Beringin," ujar Khalijah atau Kelly yang ditemui pada sesi rakaman program tersebut, baru-baru ini.

Program yang akan bersiaran pada Hari Raya kedua, jam 10 pagi ini menampilkan gandingan dua pengacara popular, Ally Iskandar dan Faizal Ismail.

Ghazal Rock bakal membuka tirai dengan persembahan oleh Faizal Tahir yang akan menyanyikan lagu Empat Dara, yang pernah dipopularkan oleh Noraniza Idris diikuti dengan Ratu Rock Negara, Ella yang akan menyampaikan lagu Janji.

Tiar, vokalis kumpulan Jinbara juga akan menunjukkan kehebatan membawakan lagu irama asli menerusi Dia Datang. Anuar Zain pula akan mendendangkan lagu popular Ramli Sarip, Kamelia manakala Ning Baizura akan membawakan lagu Kesal, nyanyian asal oleh Ella.

Aksi Anuar Zain ketika membawakan lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramli Sarip, Kamelia

Segmen kedua pula akan menyaksikan gandingan Faizal Tahir dan Ella menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu, manakala Ning dan Anuar pula akan berduet bersama untuk lagu Penawar Rindu.

Jinbara juga akan turut mempersembahkan lagu popular mereka, Zakiah, diikuti dengan dendangan lagu raya, Selamat Hari Raya oleh semua artis yang terlibat.

"Lagu-lagu yang dipersembahkan dalam program ini memang saya rasa rata-rata penonton akan tahu. Kami mencari lagu-lagu yang memang 'kena' dengan penyanyi-penyanyi ini.

"Apapun, untuk lagu ghazal, kami tidak buat di dalam bentuk yang betul-betul pure ghazal untuk memudahkan artis-artis ini.

"Insyaallah, jika program ini mendapat sambutan, kita mungkin akan adakan lagi konsep yang sama tahun depan...mungkin kita akan buat gabungan keroncong dan rock pula," kata Kelly lagi.

Persembahan 'rock' Ning yang cukup bertenaga

Ning Baizura:
"Ini satu pendekatan yang bagus. Mungkin ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa ada artis-artis Malaysia yang versatile. Saya akui, memang cukup gementar untuk nyanyikan lagu rock ini. Tetapi, program ini memang cukup menyeronokkan walaupun artis yang sertainya tidak ramai."

Faizal Tahir:
"Sebenarnya, beberapa kali juga saya nak 'lari' daripada buat program ini. Tetapi bila difikirkan semula, bila lagi saya nak cuba. Tetapi saya akui, sungguh mencabar bawa lagu ghazal. Beberapa kali juga lupa lirik sebab terlalu ingin fokuskan kepada lenggoknya. Nasib baik penerbit memahami dan suruh saya bawa ikut cara tersendiri. Tetapi idea hasilkan program ini memang menarik. Malah, saya juga sebelum ini pernah terfikir untuk gabungkan muzik rock dan muzik tradisional dalam penghasilan lagu."

Ella:
"Program ini cukup berbeza dan menarik walaupun saya sedar nyanyian saya menerusi lagu asli itu tidak sempurna. At least, ini adalah pengalaman baru buat saya dan boleh jadi platform yang baik pada masa akan datang.


Anuar Zain:
"Secara peribadi, saya memang rasa cukup bertuah kerana terpilih menyertai program seperti ini. Saya sedar lagu rock memang sukar untuk dibawa, tetapi saya terima cabaran tersebut. Apa yang saya harap, penonton kelak dapat enjoy dengan nyanyian saya itu!"


p.s-> credit to TV3 kerna memenuhi permintaan peminat-peminat ELLA.Pastikan temujanji anda untuk menyaksikan RATU ROCK MALAYSIA beraksi menyanyikan lagu JANJI versi ghazal.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home