ELLA-RATU ROCK MALAYSIA(DEMI ELLA)

Thursday, September 11, 2008

ELLA + My METRO ONLINE 11 SEPTEMBER 2008

Ghazal Rock tampil kelainan

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
RABU, 11 SEPTEMBER 2008

Rap
KEBELAKANGAN ini apabila tiba musim perayaan ramai penonton mengeluh apabila kebanyakan stesen televisyen menghidangkan rancangan hiburan hampir sama konsepnya dengan menggambarkan penyanyi melayani tetamu di rumah terbuka dan mendendangkan lagu raya dalam versi berbeza.

Rata-rata mereka berpendapat, apa yang ditampilkan itu tiada perubahan apabila ia kelihatan statik di kaca televisyen dengan pengisian langsung tidak menunjukkan perubahan berbanding tahun sebelumnya.

Kata mereka secara sinis, ada kala yang bertukar dalam rancangan itu hanya warna baju dipakai penyanyi dan perhiasan di pentas.

Mengelak agar tidak dibandingkan dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini, Penerbit Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Khalijah Mohamed atau Kelly cuba mencari kelainan dengan menghasilkan rancangan hiburan menggabungkan muzik dua zaman.

Menggunakan judul Ghazal Rock ia jelas menunjukkan Kelly mahu menghasilkan sesuatu yang tidak pernah difikirkan stesen televisyen lain sebelum ini.

Ditemui pada sesi rakaman rancangan itu yang diadakan di Sri Pentas Dua, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, jelasnya idea menerbitkan rancangan menggabungkan dua jalur muzik popular ini dalam satu rancangan hiburan diperoleh secara spontan.

"Sewaktu menghasilkan kertas kerja untuk menerbitkan rancangan ini saya mahu menggunakan judul Saya Ghazal dan Lu! Rock. Namun dinilai kembali bunyinya agak kasar membuatkan ia diubah menjadi Ghazal Rock," katanya.

Bercerita lanjut mengenai konsep rancangan ini, jelas Kelly dia tidak menghadapi masalah untuk menerbitkan Ghazal Rock memandangkan ia tidak membabitkan susunan semula lagu mahu didendangkan penyanyi terbabit.

"Sebaliknya kami hanya mengetengahkan bakat penyanyi rock terkenal seperti Faizal Tahir, Ella dan kumpulan Jin Bara menunjukkan kemampuan mendendangkan irama Ghazal sementara artis pop berpengalaman seperti Anuar Zain dan Ning Baizura menyanyikan lagu rock," katanya.

Bagi memantapkan persembahan rancangan dihasilkan, Kelly menggunakan khidmat anggota kumpulan Jin Bara dan Ghazal Beringin mengiringi persembahan artis.

"Untuk mendapatkan keserasian antara dua kumpulan muzik ini, saya terlebih dulu menemukan mereka untuk berlatih bersama dalam studio. Sepanjang latihan diadakan mereka turut berkongsi idea agar lagu didendangkan menjadi menarik.

"Maka lahirlah idea gabungan dua muzik ini sewaktu Anuar dan Ning mendendangkan lagu Penawar Rindu dan Faizal dan Ella menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu," katanya lagi.

Tidak mahu terikat dengan tema hari raya, Kelly hanya memuatkan satu saja persembahan lagu Selamat Hari Raya dendangan asal Ahmad Jais dalam Ghazal Rock.

Sementara itu artis terbabit dalam rancangan ini turut menyambut baik konsep cuba diketengahkan, malah berasakan sekiranya ia dirakamkan untuk album pasti peminat akan menggemarinya.

Ning yang diberikan peluang menyanyikan lagu rock popular Kesal nyanyian asal Ella berkata, sebaik saja penerbit menjelaskan konsep rancangan Ghazal Rock dia terus memberikan persetujuan.

"Sebagai penyanyi sudah tentu saya menanti membabitkan diri dalam rancangan menarik seperti Ghazal Rock. Pada saya ia memberi peluang kepada penyanyi muda seperti saya mendekatkan diri dengan irama tradisi.

"Siapa kata Ghazal tidak menarik apabila digabungkan irama rock. Kalau tidak percaya tonton sendiri Ghazal Rock apabila ia ditayangkan nanti. Saya percaya ia mampu memikat hati penonton," katanya.

Bagi Ella yang mendendangkan lagu ghazal iaitu Janji mengharapkan pembabitannya dalam rancangan Ghazal Rock akan membuka mata masyarakat bahawa penyanyi tempatan sebenarnya berbakat besar dengan mampu mendendangkan lagu pelbagai irama.

"Ia turut membuka ruang kepada saya sebagai penyanyi untuk lebih kreatif.

"Saya percaya dengan percubaan ini peluang saya mengadakan persembahan pada majlis khas lebih terbuka. Dan ia turut membuktikan bakat saya tidak terhad pada irama rock," katanya lagi.

Rancangan dikendalikan Faizal Ismail dan Ally Iskandar ini akan ditayangkan pada Aidilfitri kedua nanti, jam 10 pagi di TV3.


p.s-> thanks to MyMETRO ONLINE terutama kepada wartawannya ;Rudy Imran Shamsudin, atas liputan yang dibuat.

credit to -> MyMETRO

0 Comments:

Post a Comment

<< Home